Rejlen James sasar tamatkan Malaysia Ultra-Trail 100KM dalam masa 17 jam
Pelari denai negara, Rejlen James, bakal menggalas cabaran besar apabila turun beraksi dalam kategori MY100 (100 kilometer) pada kejohanan Malaysia Ultra-Trail by UTMB yang akan berlangsung di Taiping, Perak dari 26 hingga 28 September ini.
Berusia 37 tahun, atlet kelahiran Kota Kinabalu itu mengakui kejohanan kali ini adalah penyertaan sulungnya di bawah label UTMB, meskipun beliau sudah beraksi dalam acara Asia Trail Master sebelum ini.
“Kalau soal teknikal, itu perkara biasa dalam trail run. Cuma yang saya rasa sedikit mencabar adalah pacat. Geli juga, tapi boleh hadap,”
katanya sambil ketawa.
Mengulas mengenai latihan, Rejlen berkata beliau tidak melakukan persiapan luar biasa sebaliknya mengekalkan rutin biasa seperti menghadapi acara-acara terdahulu.
Dengan latar belakang denai-denai mencabar di Sabah, beliau mengakui ia memberinya pengalaman berharga, namun enggan mendabik dada.
“Sabah memang mencabar, tapi di sini pun mencabar juga. Jadi, kelebihan itu saya tak rasa ada. Sebab peserta kali ini semuanya mantap dan terbaik.”
Rejlen turut menetapkan sasaran peribadi untuk memperbaiki catatan masa, dengan anggaran 17 jam sebagai penamat ideal.
“Sebelum ini masa saya tidak begitu baik. Jadi kali ini saya mahu perbaiki masa itu.”
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam dunia larian denai, Rejlen mula berlari sejak tahun 2016 selepas merasakan jiwanya lebih dekat dengan larian denai berbanding jalan raya.
“Trail ini banyak pemandangan dan cabaran. Tidak membosankan macam jalan.”
Lebih istimewa, suaminya yang juga gemar berlari menjadi tulang belakang utama, memberi sokongan penuh dalam setiap langkahnya.
Dengan semangat kental dan sokongan keluarga, Rejlen kini bersedia menakluki denai Taiping, membawa harapan besar untuk mencipta catatan peribadi terbaiknya.