Chapman lakar detik magis di Malaysia Ultra-Trail, tamat 100KM bawah 12 jam
Pelari denai dari Iceland, Kristjan Chapman berjaya menjadi juara baharu Malaysia Ultra-Trail by UTMB dalam kategori MY100 (100 kilometer) dengan Catatan masa menakjubkan,11 jam 39 minit 26 saat.
Menurut Chapman, kejayaan ini hadir bersama rasa bangga dan kepuasan yang tidak terhingga.
“Sejujurnya, saya sangat bangga dengan diri saya sendiri. Perasaan itu sungguh menakjubkan, lebih-lebih lagi apabila berjaya melintasi garisan penamat di tempat pertama,”
katanya.
Chapman mendedahkan strateginya sejak awal perlumbaan adalah mengikuti rentak pelari teratas, khususnya atlet dari China yang memberi cabaran hebat.
“Saya cuba mengekalkan tempo bersama beliau. Matlamat utama saya adalah untuk tamatkan perlumbaan bawah 12 jam, dan syukur ia berjaya dicapai.”
Dalam pada itu, Chapman turut menegaskan bahawa perjalanannya untuk menjadi juara bukan mudah sebaliknya cukup mencabar terutamanya ketika berlari di lebuh raya yang panas terik.
“Permukaan jalan terasa seperti membakar kasut saya. Ditambah pula dengan pendakian terakhir yang benar-benar menguji fizikal dan mental.”
Kejayaan di Taiping membuatkan Chapman tidak menolak kemungkinan untuk kembali mempertahankan gelarannya pada edisi akan datang.
“Saya harap dapat kembali tahun depan. Mungkin dengan kehadiran Duo Ji, ia akan jadi persaingan yang lebih menarik. Siapa tahu, mungkin kali ini dia pula yang dapat tempat pertama.”
Sementara itu, Chapman yang kini menetap di Malaysia sejak lapan bulan lalu merancang untuk terus kekal selama tiga hingga empat tahun lagi bagi meneroka lebih banyak perlumbaan di Asia.
Malah beliau turut mendedahkan akan menyertai Kota Kinabalu Clim-a-thon tidak lama lagi.