Malaysia Ultra-Trail sasar 5,000 peserta untuk edisi tahun depan
Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2025 melakar kejayaan tersendiri apabila berjaya menghimpunkan ribuan pelari dari dalam dan luar negara dengan penganjuran yang lebih lancar, selamat dan inklusif.
Pengarah perlumbaan Malaysia Ultra-Trail, Ewegene Tan, menyifatkan edisi kali ini sebagai langkah besar dalam membawa acara larian denai terbesar di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, khususnya dari aspek keselamatan dan kualiti penganjuran.
“Seperti yang semua tahu, kami melakukan banyak penambahbaikan tahun ini. Dari segi keselamatan. Kesemua pelari berjaya menamatkan perlumbaan tanpa kecederaan serius. Paling menggembirakan, ramai peserta sudah mengesahkan akan kembali lagi tahun depan,”
katanya.
Menurut Ewegene, penganjuran pada tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya di mana kali ini diadakan lebih awal selepas mengambil kira faktor cuaca.
“Di Malaysia, bermula bulan November biasanya musim tengkujuh. Sebab itu acara sebelum ini agak tidak stabil. Tahun ini kami anjakkan lebih awal supaya peserta dapat menikmati keadaan cuaca yang lebih kering dan selamat.”
Walaupun bertembung dengan beberapa siri UTMB lain di Perancis dan Turki, beliau menegaskan ia perkara biasa dalam kalender siri dunia tersebut.
“Bagi rantau Asia, Malaysia Ultra-Trail by UTMB minggu ini adalah satu-satunya acara utama.”
Dalam pada itu, Ewegene juga mendedahkan bahawa jumlah penyertaan pelari dari luar negara meningkat dengan ketara iaitu dari 29% kepada 37% melibatkan, 1,100 pelari asing dari 64 negara.
“Ini satu perkembangan positif. Ia menunjukkan Malaysia semakin mendapat tempat di hati komuniti pelari denai dunia.”
Sementara itu, Ewegene optimis bahawa Malaysia Ultra-Trail akan terus berkembang menjadi acara bertaraf dunia.
“Dengan sokongan pasukan dan komuniti, saya yakin tahun depan kita boleh lakukan lebih baik lagi. Untuk menaikkan bilangan peserta ke angka yang lebih tinggi, mungkin 4,000, 5,000 di masa-masa yang akan datang.
Fokus kami adalah untuk terus menarik lebih ramai peserta antarabangsa, menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama larian denai.”