Jordan Boy tebus maruah, tewaskan juara Brazil di UXR Showdown: Chapter 1
Stadium SUKPA, Kuantan, menjadi saksi kebangkitan luar biasa petarung profesional negara, Jordan Boy, apabila beliau menewaskan Khao Jesus dari Brazil dengan kemenangan Knockout (KO) pada acara sulung UXR Showdown: Chapter 1.
Bagi Jordan, kemenangan itu lebih daripada sekadar kejayaan di gelanggang. Ia menjadi jawapan kepada segala kritikan dan kecaman yang diterimanya sebelum ini.
“Semua ni sebab netizen yang kecam saya. Saya berterima kasih, sebab kecaman itu yang bagi saya semangat untuk buktikan kemampuan saya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jordan turut mengakui kemenangan ini hadir dengan cabaran unik apabila lawannya adalah pengganti saat akhir
“Saya tak sempat study apa-apa tentang dia. Tapi bila masuk gelanggang, saya cuba baca perlahan-lahan game dia. Alhamdulillah, kena left elbow dan KO. Dia bukan calang-calang orang, dia juara WBC Brazil.”
Dalam pada itu, menjawab tuduhan bahawa beliau mengambil mudah persiapan kali ini, Jordan menafikan dakwaan tersebut.
“Saya mungkin tak banyak fokus buat badan, tapi saya tumpu pada boxing dan Muay Thai saya. Orang tak nampak persiapan saya di belakang tabir.”
Kejayaan Jordan turut diraikan dengan standing ovation daripada ribuan penonton yang hadir.
“Pertama sekali saya nak berterima kasih kepada family, isteri, mak mentua, dan kawan-kawan yang turun bagi sokongan. Ini kampung family mentua saya, jadi kemenangan ini memang cukup manis.”
Sementara itu, kemenangan Jordan bukan sahaja menutup mulut pengkritik, malah membuktikan dirinya masih antara yang terbaik di pentas seni bela diri tanah air.