TKKR Racing Team umum pembubaran, tinggalkan legasi di litar perlumbaan
Dunia permotoran tanah air menerima khabar duka apabila TKKR Racing Team mengumumkan pembubarannya secara rasmi.
Berita sedih itu disampaikan sendiri oleh pemilik pasukan, Bobbie Farid Shamsuddin, menerusi satu kenyataan di laman Facebook beliau sebentar tadi.
“Dengan berat hati, saya ingin memaklumkan bahawa TKKR Racing Team akan dibubarkan secara rasmi,” tulis Bobbie yang mengakui keputusan itu dibuat selepas menempuh pelbagai cabaran sepanjang musim.
Menurutnya, beliau sudah melakukan segala usaha termasuk melepaskan aset peribadi semata-mata untuk memastikan TKKR dapat mengharungi musim ini hingga ke garisan penamat. Namun, segala pengorbanan itu masih tidak cukup untuk membawa pasukan ke pusingan terakhir.
“Sejak dari awal, kita semua telah berjuang sepenuh hati untuk memastikan pasukan ini terus berada di pentas perlumbaan. Saya amat menghargai setiap titik peluh, masa, dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh semua ahli pasukan – dari pelumba, mekanik, kru sokongan hinggalah ke semua yang berada di belakang tabir,” ujarnya.
Biarpun perjalanan TKKR Racing di litar perlumbaan sudah berakhir, Bobbie menegaskan semangat perjuangan yang dibawa pasukan itu tidak akan pernah padam.
Malah, beliau percaya setiap individu yang pernah bersama TKKR akan terus melangkah jauh dalam bidang masing-masing dengan jiwa juang yang sama.
“TKKR mungkin berakhir di atas litar, tetapi keluarga TKKR akan kekal selamanya,” katanya menutup kenyataan.
Dengan pengumuman ini, TKKR Racing Team meninggalkan legasi sebagai sebuah pasukan yang bukan sahaja berjuang dalam sukan permotoran, tetapi juga menjadi keluarga besar yang diikat dengan semangat kebersamaan dan pengorbanan tanpa mengenal erti putus asa.