Kabilan mohon maaf tak dapat beraksi di UXR Showdown dek cedera

102

Nama Kabilan Jelevan semakin hangat meniti di bibir peminat seni bela diri tanah air. Namun, kekecewaan jelas terpancar apabila petarung profesional negara itu terpaksa menarik diri daripada beraksi di UXR Showdown: Chapter 1 yang berlangsung pada 27 September di Stadium SUKPA, Kuantan Pahang.

Menurut Kabilan, keputusan bera itu terpaksa dibuat selepas beliau mengalami kecederaan koyakan di jari kaki, hanya seminggu sebelum pertarungan.


“Doktor cakap kalau saya teruskan, risiko jangkitan lebih teruk. Jadi, saya terpaksa pilih untuk tarik diri. Ia memang keputusan terbaik untuk masa depan saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun kecewa tidak dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri, Kabilan menegaskan beliau sentiasa memberikan lebih daripada 100% dalam setiap persiapan.

“Saya tak mahu sekadar naik gelanggang. Saya mahu menghiburkan peminat dan buktikan saya bukan lawan yang boleh dipandang ringan.”

Dalam pada itu, Kabilan memberitahu fokus beliau kini pada proses pemulihan dan yakin akan kembali bersedia untuk Byon Fight Night pada 22 November.

“Dari hati saya, saya minta maaf pada semua peminat yang datang dan beli pay-per-view. Terima kasih atas sokongan tak berbelah bahagi. Saya janji akan bangkit lebih kuat.”