Promosi mantap & aksi hebat jadi rahsia kejayaan UXR Showdown: Chapter 1

72

Acara sulung UXR Showdown: Chapter 1 di Stadium SUKPA, Kuantan, nyata mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengumpul sambutan luar biasa, baik di stadium mahupun melalui jualan pay-per-view. 

Menurut juruhebah UXR Showdown, Daniel Chee, kejayaan ini tidak datang mudah, malah melangkaui jangkaan awal.


“Stadium penuh dan online sales pun gila-gila. Saya sendiri terkejut bila tengok angka jualan mencecah RM100,000.

Sebelum ini saya selalu fikir rakyat Malaysia belum bersedia untuk pay-per-view, tapi UXR buktikan saya salah. Rahsianya? Pertarungan hebat dan marketing Harimau Malaya yang memang spot on,”

ujar Daniel.

Sementara itu, MC acara, DJ Nas, turut menzahirkan rasa kagum terhadap kejayaan yang dicapai. Baginya, promosi bersepadu bersama Harimau Malaya menjadi pemacu utama sambutan luar biasa UXR Showdown.

“Ini bukti kerjasama yang sangat luar biasa. Saya harap ia jadi contoh untuk penganjuran acara akan datang. Terima kasih kepada semua peminat yang hadir dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi,”

katanya.

Kedua-dua penggiat acara itu juga menekankan kepentingan menghargai pengorbanan atlet seni bela diri yang sanggup memikul risiko di gelanggang demi mengharumkan nama negara.

Daniel optimis bahawa suatu hari nanti, sukan kombat di Malaysia mampu menjana pendapatan setara bola sepak.

“Saya harap satu hari nanti atlet kita tak perlu lagi bertarung hanya untuk RM400 atau RM500. Dengan sokongan berterusan, mereka boleh nikmati bayaran yang lebih adil, setanding dengan pengorbanan yang mereka lakukan.”

UXR Showdown: Chapter 1 bukan sekadar sebuah acara, tetapi titik permulaan ke arah masa depan yang lebih cerah untuk arena seni bela diri tanah air.