Odegaard diberi kebebasan penuh, Arteta mahu kapten Arsenal lebih berani ambil risiko
Mikel Arteta menegaskan kapten Arsenal, Martin Odegaard, perlu tampil lebih berani mengambil risiko bagi memberi impak kreatif yang lebih besar buat The Gunners.
Dipetik dari BBC, kenyataan itu hadir selepas aksi cemerlang pemain tengah Norway tersebut ketika membantu Arsenal menewaskan Olympiacos 2-0 dalam saingan Champions League, Rabu lalu.
Dalam perlawanan itu, Odegaard terlibat dalam dua gol yang dijaringkan Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka.
Arteta mengakui beliau memberikan “kebebasan penuh” kepada pemain berusia 26 tahun itu untuk menonjolkan bakatnya selepas bergelut dengan kecederaan bahu pada awal musim.
“Saya mahu Odegaard berani mencipta sesuatu. Kreativiti itu adalah sifat semula jadinya, dan dia memiliki keupayaan yang tidak ramai pemain lain ada. Jadi saya beri kebebasan kepadanya untuk meneroka dan mengambil risiko,” kata Arteta.
Odegaard sebelum ini cedera bahu ketika menentang Leeds dan kembali tercedera semula menentang Nottingham Forest sehingga terlepas tiga perlawanan.
Namun, kepulangannya sebagai pemain gantian ketika Arsenal menewaskan Newcastle 2-1 membuktikan pengaruhnya masih besar.
Malah, hantaran penjuru Odegaard pada minit akhir yang disempurnakan Gabriel menjadi bukti bahawa dia kekal sebagai nadi utama kebangkitan Arsenal musim ini.