Ramos jadi wira, PSG tundukkan Barcelona di minit akhir
Paris Saint-Germain (PSG) membuktikan status mereka sebagai juara bertahan Champions League apabila mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Barcelona, hasil jaringan minit akhir Goncalo Ramos.
Dipetik dari BBC, Barcelona mendahului permainan apabila Ferran Torres pantas menyambar hantaran rendah Marcus Rashford.
Rashford sekali lagi menunjukkan pengaruh besarnya, kini terlibat dalam lima daripada enam gol terakhir Barca.
Namun, PSG tidak mudah menyerah. Juara treble musim lalu itu menyamakan kedudukan selepas larian bertenaga Nuno Mendes membuka ruang untuk Senny Mayulu, pemain muda berusia 19 tahun yang tenang menolak masuk gol penyamaan.
Di sebalik kekurangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan, PSG tetap garang menyerang.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila Ramos, yang masuk sebagai pemain gantian, menyudahkan hantaran silang Achraf Hakimi dengan rembatan satu sentuhan tepat ke gawang.
Kejayaan itu mencatat sejarah sebagai kali pertama pasukan lawan menjaringkan gol kemenangan minit akhir menentang Barcelona di Eropah.
“Kami mahu memenangi segalanya sekali lagi,” tegas Ramos selepas perlawanan.
Dengan kemenangan ini, PSG mengutip enam mata penuh daripada dua aksi, manakala Barca kekal dengan tiga mata.