‘Running’ jadi gaya hidup: BNWRC & LariLah buktikan budaya ‘running’ semakin kukuh di Malaysia
Kuala Lumpur kini bukan sahaja menjadi tuan rumah kepada acara marathon terbesar negara, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2025, tetapi juga menjadi nadi kepada budaya baharu yang semakin berkembang pesat iaitu sukan lari (running) sebagai gaya hidup.
Sempena KLSCM yang berlangsung pada 4 dan 5 Oktober ini, dua komuniti larian tempatan, Brand New Waves Running Club (BNWRC) dan LariLah, tampil membawakan acara sampingan terbesar tahun ini yang menggabungkan elemen sukan, komuniti, muzik dan hiburan.
Antara acara yang dirangka termasuk “Two Mile Out & Opening Party” di LariLah pada 3 Oktober, “Cheer Zone” sepanjang hujung minggu di KLSCM, dan “The Afters” pada 5 Oktober sebagai penutup.
Pengasas bersama BNWRC, Adam, menjelaskan tujuan acara ini adalah untuk mengurangkan ‘gementar’ menjelang perlumbaan utama.
“Kadang-kadang bila kita nak race, semua orang nervous. Bila berkumpul, kita sedar kita tak bersendirian. Kita kongsi semangat yang sama. Running dulu sukan, tapi sekarang ia lifestyle. Kalau hujung minggu tak buat long run, rasa macam ada yang kurang,”
katanya.
Sementara itu, pengasas Sneakerlah, Bryan Chin, melihat fenomena ini sebagai bukti betapa running semakin diterima masyarakat Malaysia pasca pandemik.
“Ia sukan paling mudah diakses – hanya perlukan sepasang kasut. Budaya ini makin berkembang kerana bukan saja komuniti, malah bandar seperti KL dan Putrajaya sendiri sudah embrace running culture melalui program seperti Car Free Day,”
jelasnya.
Lebih menarik, selepas KLSCM, musim larian tidak terhenti kerana akan diteruskan dengan marathon lain seperti Penang Marathon dan Langkawi Marathon, menjadikan kalendar sukan ini semakin panjang.
Dalam pada itu, Adam juga sempat memberi kata-kata buat peserta yang menyertai KLSCM yang bermula pada hari ini.
“Apa jua jarak yang anda pilih, tahniah kerana berani melangkah. Keep on running.”
Manakala Bryan pula menambah, “Running is you versus you. Jangan biar media sosial buat anda rasa tak cukup bagus. Setiap langkah itu kemenangan peribadi.”
Running kini bukan lagi sekadar aktiviti kesihatan, tetapi identiti dan gaya hidup yang menyatukan komuniti dari pelbagai latar belakang – bukti bahawa budaya sukan ini akan terus bertahan lama di Malaysia.