Sevilla malukan Barcelona, terlepas peluang rampas takhta La Liga

69

Barcelona terpaksa menelan kekecewaan apabila gagal merampas kedudukan teratas La Liga selepas dibelasah Sevilla dalam aksi penuh dramatik. 

Dipetik dari BBC, juara bertahan itu memerlukan kemenangan untuk memintas Real Madrid, namun kekalahan ini menjadi yang terburuk menentang Sevilla sejak 1951.


Sevilla membuka jaringan seawal babak pertama menerusi sepakan penalti Alexis Sanchez selepas Ronald Araujo menjatuhkan Isaac Romero. 

Tidak lama kemudian, Romero sendiri menggandakan kelebihan tuan rumah hasil serangan balas pantas. 

Barcelona bangkit dengan jaringan Marcus Rashford yang menyudahkan hantaran lintang Pedri, namun harapan itu hanya seketika.

Robert Lewandowski berpeluang menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua, tetapi sepakannya dari titik penalti tersasar, sekali gus meranapkan momentum kebangkitan Barca. 

Ketumpulan di hadapan gawang serta disiplin pertahanan Sevilla menambah kesukaran buat skuad kendalian Hansi Flick.

Kekecewaan Barcelona bertambah apabila Jose Angel Carmona dan Akor Adams menambah dua gol pada penghujung perlawanan, melengkapkan kemenangan bergaya Sevilla. 

Kekalahan ini hadir hanya beberapa hari selepas Barca tumbang di tangan Paris Saint-Germain dalam saingan Champions League.

Dengan keputusan ini, Barcelona kekal dua mata di belakang Real Madrid, manakala Sevilla menghuni tangga kelima dan berpotensi dipintas Atletico Madrid.