Kes 7 pemain Harimau Malaya dijangka selesai sekitar tahun hadapan

1,099

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah pun menghantar dokumen penghakiman penuh kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan tataterbit yang melibatkan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain warisan Harimau Malaya. 

Berikutan itu, FAM telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi yang memaklumkan bahawa pihak mereka kini sedang bersiap sedia untuk memfailkan rayuan rasmi dengan segera.


“Semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu ini telah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA,” jelas FAM dalam kenyataan itu.

FAM turut menegaskan bahawa FIFA tidak mengemukakan bukti kukuh mengenai dakwaan pemalsuan dokumen oleh mana-mana pemain yang terlibat, sambil menambah bahawa semua pemain berkenaan bertindak dengan niat baik dan berdasarkan prosedur rasmi pengesahan yang dijalankan oleh pihak berkuasa serta FAM sendiri.

Berdasarkan perkara ini, perjalanan rayuan FAM kini akan mengikuti proses undang-undang penuh yang melibatkan beberapa peringkat utama:

Keputusan FIFA & Permintaan Penjelasan

Selepas menerima keputusan, FAM mempunyai 10 hari untuk meminta penjelasan penuh daripada FIFA, termasuk semua dokumen, bukti dan alasan di sebalik keputusan hukuman tersebut.

Permintaan ini penting bagi memahami asas penghakiman sebelum rayuan difailkan secara rasmi.

Notis Rayuan kepada FIFA

Setelah penjelasan diterima, FAM mempunyai 3 hari untuk memutuskan sama ada akan membuat rayuan.

Sekiranya diteruskan, notis rasmi perlu dihantar kepada FIFA secara bertulis. Selepas itu, FAM mempunyai 5 hari tambahan untuk menyerahkan dokumen rayuan penuh kepada FIFA Appeal Committee beserta bukti dan hujah baharu.

Semakan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA

Jawatankuasa ini akan menilai semula semua dokumen dan hujah FAM, dan mereka mempunyai kuasa untuk:

  • Mengekalkan keputusan asal,
  • Mengurangkan hukuman, atau
  • Membatalkan hukuman sepenuhnya.

Bagaimanapun, jika keputusan masih tidak memihak kepada Malaysia, FAM boleh memohon penghakiman bertulis penuh dalam tempoh 10 hari bagi membolehkan kes ini dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Rayuan ke Court of Arbitration for Sport (CAS)

Sekiranya rayuan di peringkat FIFA gagal, FAM berhak membuat rayuan kepada Court of Arbitration for Sport (CAS) di Switzerland dalam tempoh 21 hari selepas keputusan akhir FIFA.

CAS akan menilai kes secara bebas dan mengeluarkan keputusan muktamad serta mengikat, sekali gus menamatkan proses rayuan di peringkat antarabangsa.

Tindakan Susulan oleh AFC

Selepas keputusan akhir CAS diumumkan, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan menilai sama ada FAM melanggar sebarang peraturan kejohanan AFC.

Antara hukuman yang mungkin dikenakan termasuk, pemotongan mata, denda kewangan atau penggantungan penyertaan dalam sebarang kejohanan anjuran AFC.

Proses Rayuan Dijangka Ambil Masa Beberapa Bulan

Secara amnya, rayuan yang difailkan di bawah FIFA Appeal Committee lazimnya mengambil masa antara beberapa bulan untuk disemak semula.

Sekiranya kes dibawa ke peringkat CAS, proses itu pula boleh memakan masa beberapa bulan tambahan bergantung kepada keperluan perbicaraan penuh atau pengumpulan keterangan tambahan.

Oleh itu, keseluruhan proses dijangka mengambil masa yang agak lama dan keputusan akhir berkemungkinan diumumkan pada suku kedua 2026.

Sementara itu, tempoh beberapa bulan mendatang bakal menjadi detik penentu buat bola sepak Malaysia, sama ada untuk membuktikan integriti dalam proses dokumentasi pemain warisan, atau berdepan dengan implikasi lanjut di peringkat antarabangsa.

Apa pun hasilnya, seluruh peminat bola sepak tanah air mengharapkan ada hikmah disebalik dugaan ini.