Henderson akui keputusan pindah ke Arab Saudi antara detik sukar dalam kariernya

44

Pemain tengah England, Jordan Henderson, mengakui bahawa perpindahannya dari Liverpool ke Arab Saudi pada 2023 merupakan antara detik paling sukar dalam kariernya. 

Dipetik dari BBC, bekas kapten The Reds itu menerima kritikan hebat selepas menyertai Al-Ettifaq, memandangkan beliau sebelum ini dikenali sebagai penyokong kuat hak LGBTQ+ di England.


Enam bulan kemudian, Henderson meninggalkan Arab Saudi untuk menyertai Ajax, dan memohon maaf kepada komuniti LGBTQ+ atas kekecewaan yang timbul akibat keputusannya itu. 

Kini berusia 35 tahun, beliau kembali beraksi dalam Premier League bersama Brentford dan turut dipanggil semula ke skuad England di bawah kendalian Thomas Tuchel.

“Saya tidak akan menipu, dua tahun kebelakangan ini agak mencabar. Ia terasa seperti perpisahan apabila saya meninggalkan Liverpool,” katanya. 

Henderson turut mengakui bahawa dengan pandangan masa kini, beliau mungkin akan membuat keputusan yang berbeza.

Meskipun melalui pelbagai cabaran, pemain yang telah mengumpul 85 caps bersama England itu menegaskan beliau masih mampu memberi sumbangan bermakna di peringkat kelab dan antarabangsa.