Gerrard beri bayangan kembali bimbing Rangers
Steven Gerrard dilaporkan bakal mengadakan rundingan dengan Rangers bagi membincangkan kemungkinan kembali sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu.
Menurut laporan BBC Sport, pihak pengurusan Rangers terbuka untuk melantik semula Gerrard, namun menunggu pengesahan sama ada beliau benar-benar bersedia untuk kembali ke Ibrox.
Perbincangan dijangka berlangsung dalam beberapa hari akan datang selepas pemecatan Russell Martin pada Ahad lalu.
Walaupun beberapa calon lain turut dipertimbangkan, Gerrard kini muncul sebagai pilihan utama, dengan sokongan kuat daripada penyokong setia Rangers.
Bekas pemain tengah Liverpool dan England itu pernah membimbing Rangers dari 2018 hingga 2021, membawa kelab tersebut menjulang kejuaraan liga pertama dalam tempoh sedekad. Selepas meninggalkan Scotland, Gerrard mengendalikan Aston Villa dan kemudiannya kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq.
Dalam wawancara bersama Rio Ferdinand baru-baru ini, Gerrard mengakui ingin kembali melatih pasukan yang mampu bersaing untuk menang.
Dengan prestasi Rangers yang kini di tangga kelapan liga, kepulangan beliau berpotensi menghidupkan semula semangat juang di Ibrox.