Adam Adli mahu isu Todak dan MESF diselesai secara mediasi, tegaskan atlet tidak wajar jadi mangsa
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, tampil memberi maklum balas terhadap isu terbaharu membabitkan Kelab Sukan Elektronik Todak dan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) yang kembali mencetuskan perhatian dalam industri e-sukan negara.
Menurut Adam, aduan Todak merupakan yang kedua diterima terhadap MESF dalam tempoh sebulan, melibatkan isu sama iaitu larangan penyertaan atlet e-sukan negara dalam kejohanan yang disanksi oleh badan tersebut.
Adam Adli turut menjelaskan bahawa beberapa langkah telah diambil sebelum ini, termasuk teguran terhadap MESF pada 9 September serta pertemuan bersama FAM dan wakil industri seperti Chamak dan Gamesbond bagi mencari penyelesaian terbaik.
Isu Terkini Antara Kelab Sukan Elektronik Todak dan MESF
— Adam Adli (@AdamAdli) October 9, 2025
Saya ingin memberi maklum balas berhubung isu yang dilaporkan oleh Kelab Sukan Elektronik Todak terhadap Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) yang telah dikeluarkan kepada umum semalam.
Perlu saya nyatakan bahawa…
Namun, kenyataan rasmi Todak pada 8 Oktober menunjukkan isu itu masih berlarutan dan menimbulkan kebimbangan baharu terhadap tadbir urus dan komunikasi dalam ekosistem e-sukan tempatan.
“Pengurusan isu atlet mesti dilakukan secara adil dan terbuka bagi menjamin kepercayaan semua pihak,” tegas Adam Adli.
Susulan itu, beliau telah meminta Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk meneliti secara menyeluruh dakwaan yang dikemukakan serta mencadangkan langkah penyelesaian, termasuk penganjuran sesi mediasi antara kedua-dua pihak.
Adam Adli turut menyeru agar MESF terus berperanan sebagai penggerak utama pembangunan e-sukan negara, bukan sebagai penghalang kepada potensi pemain dan kelab yang ingin maju di pentas profesional dan akar umbi.