Biar ribut melanda, Ekor Harimau tetap gah di belakang Harimau Malaya
Pasukan kebangsaan Malaysia tidak akan turun beraksi ‘berseorangan’ di atas padang malam ini apabila dilaporkan lebih 150 penyokong tiba awal pagi tadi di Loas bagi memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya menjelang aksi penting Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos malam ini.
Kehadiran mereka bukan sekadar simbol semangat penyokong tegar, tetapi juga bukti bahawa kesetiaan terhadap pasukan kebangsaan tidak mudah goyah biarpun ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang berdepan kemelut selepas pendedahan FIFA baru-baru ini.
Menurut wakil penyokong, perjalanan ke Laos telah dirancang lebih awal dan tidak akan terjejas oleh sebarang isu luar padang.
“Kami datang kerana cinta kepada pasukan. Isu yang melanda FAM bukan alasan untuk kami berpatah balik. Harimau Malaya tetap kebanggaan negara,”
ujarnya.
Mereka juga optimis bahawa skuad kendalian Peter Cklamovski mampu meraih kemenangan walaupun tanpa kelibat beberapa pemain warisan, sambil menegaskan barisan sedia ada mempunyai keupayaan dan semangat juang yang tinggi.
“Kalau bukan kita yang menyokong, siapa lagi? Kami percaya Harimau Malaya akan buktikan kekuatan sebenar mereka malam ini.”
Semangat kental penyokong ini sekali lagi membuktikan apa jua badai melanda, sokongan kepada Harimau Malaya tidak akan pernah luntur.