Tuchel kecewa Wembley sunyi ketika England menang 3-0
Ketua jurulatih England, Thomas Tuchel, meluahkan kekecewaan terhadap suasana hambar di Stadium Wembley ketika pasukannya mencatat kemenangan 3-0 ke atas Wales dalam aksi persahabatan antarabangsa.
Dipetik dari BBC, walaupun skuad Three Lions tampil garang dengan tiga gol dalam tempoh 20 minit menerusi Morgan Rogers, Ollie Watkins dan Bukayo Saka, suasana di stadium kekal sunyi tanpa sorakan padu penyokong tuan rumah.
“Stadium itu senyap. Kami langsung tidak mendapat tenaga daripada penyokong. Para pemain sudah memberikan segalanya dan mereka layak mendapat lebih banyak sorakan,” katanya.
Jurulatih berusia 52 tahun itu turut menyifatkan situasi tersebut agak mengecewakan kerana penyokong Wales dilihat lebih lantang menyokong pasukan mereka.
Tuchel yang kini mencatat enam kemenangan daripada tujuh perlawanan sejak mengambil alih skuad England pada Januari lalu berkata, beliau tetap berbangga dengan prestasi pasukan namun mengakui suasana di Wembley tidak sepadan dengan kualiti permainan ditampilkan anak buahnya.