Bukan sekadar gol: Romel Morales jadi nadi serangan dalam kemenangan Harimau Malaya
Dalam kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Laos dalam aksi ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 semalam, tumpuan turut terarah kepada penyerang Harimau Malaya, Romel Morales.
Pada perlawanan semalam, ketua jurulatih Peter Cklamovski memberikan kepercayaan penuh kepada pemain kelahiran Colombia itu untuk mengetuai jentera serangan skuad negara, susulan ketiadaan tujuh pemain warisan/naturalisasi yang tidak dapat beraksi ekoran isu dokumentasi dan kemelut terkini yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketiadaan mereka membuka ruang kepada Romel untuk membuktikan kemampuan sebenar.
Walau bagaimanapun, prestasinya tidak terlepas daripada kritikan segelintir penyokong yang mendakwa beliau gagal memanfaatkan peluang di hadapan gawang.
Tidak dinafikan Romel belum menemui sentuhan jaringan tetapi dalam bola sepak, sumbangan seorang pemain tidak diukur pada jaringan semata-mata.
Jika dilihat sepanjang 90 minit permainan, Romel tampil dengan ‘work rate’ yang tinggi termasuk rajin turun membantu bertahan, membuka ruang buat rakan sepasukan dan menjadi penghubung utama dalam serangan pantas Malaysia.
Tekanan untuk menjaringkan gol nyata tinggi, namun disiplin taktikal serta komitmen yang dipamerkannya harus diberi pujian.
Dalam kemenangan malam itu, beliau juga memainkan peranan penting dalam gerakan gol Harimau Malaya, membuktikan dirinya bukan sekadar penyerang, tetapi sebahagian penting dalam struktur pasukan.
Sementara itu, skuad Harimau Malaya kini akan kembali beraksi menentang Laos sekali lagi pada 14 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), dan ramai penyokong percaya itulah pentas terbaik buat Romel untuk menebus peluangnya.
Di hadapan puluhan ribu penyokong, mungkin inilah detik untuk beliau menampilkan ketajaman sebenar dan membuktikan bahawa dirinya layak kekal sebagai penyerang utama negara.
Pada masa sama, kemunculan nama Jordan Mintah, pemain naturalisasi baharu Malaysia yang kini berada dalam prestasi terbaik bersama Kuching City FC, turut mencuri perhatian.
Cklamovski berkemungkinan akan memberi peluang kepada Mintah untuk membuat debut di SNBJ, sesuatu yang pastinya dinantikan oleh penyokong tempatan.
Apa pun, kemenangan ke atas Laos bukan sekadar tiga mata penting buat Malaysia, tetapi juga mesej jelas bahawa biarpun skuad negara kehilangan tujuh pemain utama, pasukan masih memiliki ramai pemain lain berkualiti yang mampu menggalas cabaran di pentas antarabangsa.