Edan Syah terus berlari dengan misi & matlamat, dalam persiapan ke Kobe Marathon

67

Nama Edan Syah bukan asing dalam kalangan komuniti pelari tempatan yang mana beliau dikenali sebagai pelari berdisiplin tinggi dan sering tampil dengan misi tersendiri dalam setiap lariannya.

Terbaru, Edan sekali lagi menarik perhatian apabila berjaya meraih tempat kedua bagi kategori 21km lelaki di acara Lazada Run 2025 yang berlangsung di Cyberjaya pagi tadi.


Berkongsi pengalamannya sejurus tamat larian, Edan menyifatkan pencapaian kali ini sebagai satu langkah penting menjelang penyertaannya di Kobe Marathon, Jepun, bulan November nanti.

“Alhamdulillah, dapat tempat kedua untuk kali pertama saya sertai Lazada Run tahun ini. Larian pagi tadi ok, saya bersama pelari lain, Kenya, dari awal sampai kilometer ke-18, cuma tiga kilometer terakhir saya tak dapat ikut,” 

katanya.

Walaupun bukan kemenangan mutlak, bagi Edan, keputusan itu membuktikan prestasinya berada pada landasan yang betul menjelang misi seterusnya.

“Hari ini sebenarnya sebahagian daripada latihan saya untuk Kobe Marathon nanti. Saya harap dapat perbaiki rekod peribadi dan tamat tahun 2025 dengan pencapaian terbaik.”

Dalam pada itu, selain mengejar keputusan podium Edan juga terkenal dengan gaya larian berkonsepkan mesej sosial. 

Tahun lalu, beliau mencuri perhatian antarabangsa apabila mencatat rekod dunia Guinness dengan berlari memakai uniform sekolahsebagai simbol kempen anti-buli.

“Setiap larian saya ada matlamat. Bila saya pakai kostum, ia bukan sekadar gaya  tapi membawa mesej untuk masyarakat.”

Untuk larian di Kobe nanti, Edan memilih untuk tampil tanpa kostum, memberi tumpuan penuh kepada prestasi.

“Bulan 11 ni saya nak fokus kepada catatan masa. Tahun ni, semua target untuk 5km, 10km dan half marathon dah tercapai. Cuma rekod peribadi masih belum. Jadi saya harap Kobe nanti jadi penutup terbaik tahun ini.”

Sementara itu, ditanya mengenai peluang mewakili negara dalam temasya antarabangsa seperti Sukan SEA, Edan tidak menolak kemungkinan itu.

“Saya lagi dua tahun nak masuk kategori veteran. Tapi kalau ada peluang, dan saya tak terlalu sibuk dengan kerja, saya akan cuba. Yang penting saya terus improve diri dulu.”

Dengan semangat dan disiplin yang tidak pernah pudar, Edan Syah terus membuktikan bahawa larian bukan sekadar sukan tetapi satu gaya hidup dengan matlamat dan mesej yang memberi inspirasi kepada masyarakat.