Kita banyak buat kesilapan sendiri, bukan pihak lawan bagus sangat – Che Saupi

71

Ketua jurulatih Kelantan WTS FC, Che Saupi Ibrahim nyata kecewa dengan persembahan anak buahnya selepas tewas 1-3 kepada Selangor FC II dalam aksi Liga A1 di Stadium MBPJ petang tadi. 

Menurut Che Saupi, pasukannya gagal menampilkan kemampuan sebenar dan terlalu banyak melakukan kesilapan mudah, khususnya di bahagian pertahanan.


“Rata-rata pemain saya hari ini bermain di bawah kebolehan sebenar mereka. Saya pun tak tahu kenapa boleh sampai beri penalti kepada pihak lawan. Lepas ni, memang kena banyak buat ‘homework’,”

katanya.

Che Saupi turut mengakui bahawa barisan pertahanannya perlu diberi perhatian serius selepas gagal beraksi sebagai satu unit.

“Apa yang saya nampak, kita lemah di bahagian pertahanan. Kita tidak bekerja sebagai satu unit, dan itu yang akan saya perbaiki selepas ini.”

Dalam pada itu, Che Saupi juga mengulas tentang perubahan momentum permainan selepas Kelantan WTS mendominasi 20 minit awal separuh masa kedua sebelum permainan mula dikuasai semula oleh Selangor FC II.

“Apabila kita keluarkan kapten, perlawanan terus berubah. Kita banyak buat kesilapan sendiri, bukan sebab pihak lawan tu bagus sangat, tapi kerana kesilapan kita sendiri.”

Mengulas mengenai langkah seterusnya, Che Saupi menegaskan bahawa sasaran pasukan kini hanya satu iaitu kembali ke landasan kemenangan.

“Kita kena menang. Itu saja jawapan yang saya boleh bagi.”

Sementara itu, kekalahan itu menyaksikan Kelantan WTS kini menghuni tangga keempat liga selepas lapan perlawanan.