Voltra Pro terima surat pengesahan awal daripada World Athletics

912

Selepas insiden yang tular melibatkan pelari Kenya, Paul Katisa Matheka, yang dibatalkan penyertaannya di Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2025 kerana memakai kasut Voltra JET, kini muncul berita gembira buat jenama tempatan itu.

Pengasas Voltra Pro, Fahmi Fabilah, mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima emel rasmi daripada World Athletics bagi proses pendaftaran kasut mereka ke dalam senarai kelulusan rasmi badan induk olahraga dunia itu.


Menerusi hantaran di Instagram Story, Fahmi berkongsi tangkap layar emel tersebut sambil menulis, “Finally, email yang ditunggu-tunggu.” Surat berkenaan bertajuk Athletic Shoe Regulations dan mengesahkan bahawa World Athletics telah menerima permohonan Voltra untuk menyenaraikan kasut mereka di bawah peraturan kelulusan kasut rasmi yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2022.

Sebelum ini, Paul Matheka menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh kategori lelaki terbuka namun dibatalkan selepas didapati memakai kasut Voltra JET, model yang ketika itu belum tersenarai dalam senarai rasmi World Athletics approved list. 

Walaupun tidak melibatkan sebarang penipuan atau penggunaan bahan terlarang, keputusan tersebut dibuat atas faktor teknikal semata-mata.

Langkah baharu ini menandakan permulaan penting buat Voltra Pro dalam usaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa, selain membuka jalan untuk kasut rekaan tempatan bersaing di pentas global sekaligus selari dengan semangat Voltra yang mahu terus berdiri teguh bersama para pelari.