Ronaldo pecah rekod dunia, hasrat layak awal ke Piala Dunia tertangguh
Portugal terpaksa menangguh hasrat mereka untuk mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 selepas diikat Hungary 2-2 dalam aksi Kumpulan F di Lisbon.
Dipetik dari BBC, Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi tumpuan apabila meledak dua gol, sekaligus mencatat rekod baharu sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah kelayakan Piala Dunia dengan 41 gol, mengatasi rekod lama milik Carlos Ruiz dari Guatemala.
Hungary bermula garang apabila Attila Szalai membuka jaringan pada minit ke-8 hasil gerakan Dominik Szoboszlai, namun Ronaldo menyamakan kedudukan 14 minit kemudian selepas menyambar hantaran rendah Nelson Semedo.
Bintang berusia 40 tahun itu kemudian meletakkan Portugal di depan sebelum rehat hasil umpanan Nuno Mendes.
Namun, drama tercetus pada masa kecederaan apabila Szoboszlai menjaringkan gol penyamaan untuk memastikan Hungary kekal berpeluang memburu kedudukan teratas kumpulan.
Portugal kini mendahului kumpulan dengan kelebihan lima mata dan berpeluang menamatkan kempen kelayakan lebih awal apabila berdepan Republik Ireland di Dublin pada 13 November ini.