Malayan Tigress B-17 buru tiga mata penuh menentang Syria

70

Skuad Malayan Tigress B-17 akan turun ke padang petang ini dengan semangat membara apabila berdepan Syria dalam aksi kedua Kumpulan A, Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2026. 

Tiga mata penuh menjadi misi utama buat anak-anak buah Leila Chua bagi meneruskan momentum positif dalam kempen kali ini.


Sebelum ini, skuad muda negara memulakan langkah kanan apabila menewaskan Tajikistan 2-0 dalam perlawanan pembukaan.

Ia merupakan satu permulaan ideal yang menyaksikan Malaysia kini berada di tangga kedua kumpulan dengan tiga mata, berkongsi kedudukan bersama pendahulu, Filipina, yang memiliki kelebihan tiga gol.

Kemenangan ke atas Syria bakal membuka laluan lebih cerah untuk Malaysia mara ke pusingan akhir, namun mereka perlu memastikan keputusan positif turut diraih dalam aksi terakhir menentang Filipina, kerana hanya juara kumpulan akan layak secara automatik.

Dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan dalam aksi pertama, seluruh peminat bola sepak tanah air meletakkan harapan tinggi agar skuad Malayan Tigress B-17 terus berjuang dengan penuh keyakinan dan semangat kesukanan.