Anak Malaysia di puncak dunia bola sepak Asia – Arif Aiman, kami bangga!
Bintang sensasi Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus mencipta sejarah luar biasa apabila menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama yang tercalon untuk anugerah berprestij AFC Player of the Year 2025.
Pencalonan ini menandakan satu detik bersejarah buat bola sepak tanah air sekaligus menjadi bukti nyata bahawa Malaysia kini semakin mendapat tempat di peta bola sepak Asia.
Arif yang baru berusia 23 tahun, mempamerkan prestasi luar biasa sepanjang musim lalu, bukan sahaja di peringkat kelab tetapi juga bersama skuad kebangsaan.
Bersama JDT, beliau menjadi nadi utama dalam membantu pasukannya mengekalkan dominasi dalam saingan domestik, termasuk menjuarai Liga Super Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia, di samping layak ke pusingan kalah mati AFC Champions League (ACL) buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Di pentas antarabangsa pula, Arif tampil sebagai tonggak penting Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, mencipta jaringan dan bantuan gol penting yang mengangkat kembali maruah skuad negara.
Dalam perebutan gelaran Pemain Terbaik Asia 2024, Arif bakal berdepan dua nama besar Asia iaitu Akram Afif dari Qatar, yang memburu gelaran ketiganya selepas kemenangan pada 2019 dan 2023, serta Salem Al-Dawsari dari Arab Saudi, pemenang edisi 2022. Saingan sengit ini membuktikan Arif kini berada di kalangan elit bola sepak Asia.
Namun begitu, jika tiada rezeki buat Arif untuk menjulang trofi berprestij itu, seluruh peminat bola sepak tanah air tetap berasa amat bangga dengan pencapaian luar biasanya.
Sekadar tercalon sahaja sudah menjadi satu kejayaan bersejarah buat Malaysia, menandakan hasil kerja keras, disiplin tinggi, dan dedikasi yang telah beliau tunjukkan sepanjang kariernya.
Jika dinobat sebagai AFC Player of the Year, ia pastinya bonus besar buat dirinya namun apa yang pasti, Arif Aiman kini telah pun mengukir nama dalam sejarah bola sepak Malaysia sebagai lambang kebangkitan generasi baharu Harimau Malaya di pentas Asia.