Leila Chua puji kemajuan dan keteguhan mental Malayan Tigress B-17
Skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun negara, Malayan Tigress B-17, terus menunjukkan kematangan dan peningkatan prestasi apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Kelayakan Piala Asia B-17 selepas menewaskan Syria 1-0 di Tajikistan.
Ketua jurulatih, Leila Chua, nyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang kian matang dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Menurut Leila, kemenangan ini bukan sahaja bukti peningkatan taktikal pasukan, tetapi juga kemajuan dari segi keyakinan diri dan semangat berpasukan.
“Saya rasa kita dapat lihat peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Mereka kini semakin percaya kepada diri sendiri dan rakan sepasukan,”
katanya.
Beliau turut mengimbas perjalanan panjang pasukan sejak beberapa bulan lalu yang bermula dengan penyertaan di kejohanan Emerging Matildas di Australia, diikuti saingan AFF dan kini berada di pentas kelayakan AFC.
Tambahnya, di antara kejohanan tersebut, pasukan ini juga ditempa dengan aksi kompetitif dalam Liga Wanita Nasional (LWN) menentang pasukan dewasa yang merupakan satu pengalaman penting yang memperkukuh kekuatan fizikal dan mental pemain muda negara.
Dalam pada itu, Leila turut menjelaskan bahawa beberapa pertukaran pemain dalam perlawanan menentang Syria dibuat atas faktor taktikal dan pengurusan tenaga memandangkan pasukan bakal berdepan jadual padat dengan tiga perlawanan dalam tempoh lima hari.
Mengulas mengenai suasana tegang di padang, Leila memuji ketenangan pemainnya yang tidak mudah terpengaruh dengan provokasi pihak lawan.
“Pemain kita kekal fokus dan tidak membalas provokasi. Kita jawab dengan cara bola sepak, dan itu jawapan terbaik.”
Kemenangan tipis itu menyaksikan skuad negara kini berkongsi enam mata dengan pendahulu kumpulan Filipina dan aksi terakhir menentang pasukan pilihan itu akan menjadi penentu untuk skuad negara ke pusingan akhir.