Indonesia pecat Patrick Kluivert
Patrick Kluivert secara rasmi telah dipecat daripada jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia selepas hanya sepuluh bulan memegang peranan tersebut.
Keputusan itu diumumkan oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) pada 16 Oktober 2025, selepas kegagalan skuad Garuda mara ke pusingan kelima Kelayakan Piala Dunia 2026.
Menurut kenyataan rasmi, pemutusan kontrak antara kedua-dua pihak dibuat secara persetujuan bersama, meskipun kontrak asal Kluivert sepatutnya berjalan sehingga 2027.
Sepanjang tempoh kendaliannya, jurulatih dari Belanda itu membawa Indonesia ke pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia — satu pencapaian bersejarah buat bola sepak negara itu.
Namun, prestasi tidak konsisten dan kekalahan berturut-turut kepada Arab Saudi serta Iraq menjadi punca utama kejatuhannya.
Dalam beberapa sidang media sebelum ini, Kluivert turut meluahkan kekecewaan terhadap kelemahan pasukannya menyempurnakan peluang gol, dengan menyatakan bahawa “semua jaringan datang daripada sepakan penalti, bukan permainan terbuka.”
PSSI dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan dedikasi Kluivert sepanjang memimpin skuad kebangsaan, sementara Presiden PSSI, Erick Thohir, menegaskan bahawa keputusan itu dibuat demi kesinambungan pembinaan bola sepak Indonesia ke arah yang lebih stabil.
Selain beliau, seluruh barisan kejurulatihan asal Belanda, termasuk pembimbing skuad U-23 dan U-20, turut meninggalkan posisi masing-masing.