Nuno akui West Ham dalam krisis, seru pemain kembalikan keyakinan penyokong
Krisis di London Stadium semakin meruncing apabila West Ham United terus tenggelam di tangga ke-19 Premier League selepas tewas 0-2 kepada Brentford dalam aksi derby London yang suram.
Dipetik dari BBC, kekalahan itu turut disertai dengan suasana tegang apabila ramai penyokong meninggalkan stadium lebih awal, manakala yang kekal pula meluahkan rasa kecewa dengan sorakan boo.
Jurulatih baharu West Ham, Nuno Espirito Santo, yang masih belum mencatat kemenangan selepas tiga perlawanan, mengakui prestasi pasukan jauh daripada memuaskan.
“Tidak cukup baik. Lemah. Brentford layak menang. Mereka bermain lebih baik daripada kami,” katanya selepas perlawanan.
Menurut Nuno, kebimbangan dan kekecewaan penyokong kini mula menular kepada para pemain, menyebabkan pasukan kehilangan keyakinan.
“Keresahan itu menjadikan stadium sunyi dan tekanan berpindah kepada pemain. Kami ada masalah, dan hanya kami yang mampu mengubahnya,” tegasnya.
Nuno menyeru anak buahnya bekerja lebih keras untuk mengembalikan semangat dan sokongan penyokong menjelang pertemuan seterusnya menentang Leeds.
“Dalam empat hari, kami mesti tunjuk peningkatan besar. Kami perlu buktikan kami masih mampu bangkit,” katanya penuh tekad.