Gyokeres tamat kemarau gol, Arteta puji ketekunan penyerang Arsenal
Kelegaan jelas terpancar di wajah Viktor Gyokeres apabila penyerang Arsenal itu menamatkan kemarau jaringan dengan dua gol dalam kemenangan bergaya 4-0 ke atas Atletico Madrid, awal pagi tadi.
Dipetik dari BBC, pengurus Mikel Arteta menyifatkan prestasi itu sebagai bukti ketekunan dan keazaman tinggi pemain bernilai £64 juta tersebut.
Gyokeres sebelum ini melalui tempoh sukar tanpa jaringan dalam tujuh perlawanan berturut-turut selepas permulaan cemerlang dengan tiga gol dalam empat aksi awal musim.
Namun, Arteta menegaskan sumbangan pemain berusia 27 tahun itu tidak hanya diukur melalui jaringan, sebaliknya menerusi etika kerja dan penglibatan aktif dalam permainan pasukan.
“Dia layak untuk mendapat detik ini. Walaupun tidak menjaringkan gol, usaha dan disiplin taktikalnya sentiasa membantu pasukan,” ujar Arteta yang turut mendedahkan beliau memberi pelukan penghargaan kepada pemain itu selepas kemenangan ke atas West Ham minggu lalu.
Dengan kini mencatat lima gol daripada 12 perlawanan, Gyokeres diharapkan mampu mengekalkan momentum tersebut menjelang aksi penting Arsenal dalam saingan liga dan Eropah, sekali gus membuktikan nilai sebenar pelaburan besar The Gunners.