Di mana silapnya, Liga Malaysia kurang dapat sambutan peminat?
Menerusi satu tweet di laman Twitter, ianya agak mengejutkan apabila mengetahui bahawa kutipan tiket perlawanan Liga Malaysia pada musim 1996 dan 1997 mencecah lebih daripada RM 19 juta!
Ayuh sama-sama UBAH MENTALITI!
— ToraBola (@tora_bola) February 28, 2022
Guys, budaya tiket free ni bukan baru dalam bola sepak kita, dari dulu sampai sekarang admin percaya ianya masih wujud lagi.
Tahukah anda? Pada era kegemilangan Liga Malaysia, kutipan hasil jualan tiket pernah mencecah sehingga RM 19 juta semusim. pic.twitter.com/X0yS5NFmxB
Pasukan-pasukan yang bertanding ketika itu mampu untuk menjana pendapatan hanya daripada kutipan tiket perlawanan. Hal ini menjadi antara bukti mengapa pasukan-pasukan yang bertanding mampu untuk terus bertahan dalam liga pada ketika itu.
Pasukan kecil seperti Perlis mampu untuk mencapai jualan tiket sehingga lebih RM 1 juta pada tahun 1997. Dengan nilai kutipan tiket pada ketika itu, setidaknya ianya mampu untuk menampung perbelanjaan pasukan pada ketika itu.
Harga tiket pada ketika itu cuma sekitar RM 5-7 sahaja. Bayangkanlah bagaimana sambutan penyokong-penyokong pada ketika itu. Sudah pasti seluruh pelusuk stadium dipenuhi dengan penyokong-penyokong.
Selangor, salah satu pasukan besar dalam negara mencatatkan kutipan tiket sebanyak lebih RM 3 juta pada tahun 1997. Dengan inflasi dan sebagainya, nilai itu kini boleh mencecah sehingga lebih RM 5 juta pada Disember 2021. Cukup untuk menampung sebahagian daripada perbelanjaan pasukan pada masa sekarang.
Selangor punya kutipan selepas ambil kira inflasi. https://t.co/jH1MG3u2zL pic.twitter.com/5dlmjCM18R
— Bear (@abearfromSEA) March 1, 2022
Itu cerita yang berlaku pada 26 tahun dahulu yang menunjukkan bahawa Liga Malaysia ini memang mendapat sambutan yang hangat. Biarpun tidak segah sekarang, namun sambutannya jelas luar biasa.
Kini pada era bola sepak semakin maju, entah mengapa sambutan yang diterima oleh Liga Malaysia dilihat kurang memberangsangkan terutamanya zaman sebelum Covid-19 melanda. Ada pasukan yang mempunyai kapasiti stadium yang besar, namun sayangnya terdapat banyak ruang-ruang kosong yang tidak dipenuhi oleh penonton.
Kesannya, pasukan ini tidak dapat bertahan disebabkan penjualan tiket yang mengecewakan. Situasi ini sudah pasti tidak membantu pasukan yang mengharapkan kutipan tiket perlawanan sebagai satu inisiatif untuk mengisi kantung kewangan pasukan.
Sikap penyokong yang tidak bertanggungjawab juga merupakan antara penyebab utama mengapa situasi ini berlaku. Ada penyokong-penyokong yang memasuki stadium secara percuma secara haram terutamanya ketika rehat separuh masa.
Jika ada lebih 1,000 orang penyokong yang memasuki stadium secara percuma, berapa banyak kerugian yang terpaksa ditanggung pasukan?
Faktor lain mengapa situasi ini berlaku adalah kewujudan siaran secara langsung di platform seperti televisyen dan juga YouTube. Daripada perlu datang awal, bersesak-sesak masuk ke dalam stadium, alternatif ini dilihat lebih mudah. Selain dapat menjimatkan kos seperti pengangkutan, tiket perlawanan serta makanan dan minuman.
Selain itu juga, isu-isu remeh seperti tunggakan gaji, politik dalaman dan persiapan pasukan yang kelam kabut dilihat menjadi antara faktor lain mengapa penyokong tidak lagi berminat untuk menonton Liga Malaysia. Bagaimana mahu menarik minat penyokong bola sepak tempatan jika pasukan yang bertanding mempunyai masalah?
Kecenderungan penyokong-penyokong yang lebih mengutamakan liga luar juga turut menyumbang kepada faktor ini. Seperti yang diketahui beberapa liga luar memang mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan penyokong tempatan. Jadi ianya menjadi antara punca mengapa liga tempatan kurang mendapat sambutan.