Erling Haaland terus mengganas, bantu Manchester City tamatkan badi tandang di UCL
Erling Haaland sekali lagi menjadi wira apabila menjaringkan gol dalam 12 perlawanan berturut-turut, meneruskan rentak luar biasanya dan membantu Manchester City menamatkan kemarau kemenangan di tempat lawan dalam saingan Champions League selepas menewaskan Villarreal.
Dipetik dari BBC, penyerang sensasi Norway itu kini mengumpul 24 gol dalam 14 perlawanan untuk kelab dan negara musim ini.
Gol pembukaan perlawanan memperlihatkan naluri pemusnahnya apabila beliau pantas melepasi kawalan Juan Foyth untuk menyambut hantaran rendah Rico Lewis dengan penyudah satu sentuhan yang tepat.
City bermula agresif dengan Haaland hampir membuka tirai jaringan seawal dua minit menerusi tandukan, manakala Jeremy Doku turut menguji penjaga gol Luiz Junior dengan rembatan deras.
Dominasi City akhirnya membuahkan hasil apabila Bernardo Silva menggandakan kelebihan sebelum rehat menerusi tandukan hasil hantaran Savinho.
Villarreal cuba bangkit pada babak kedua, namun percubaan Pape Gueye dan tandukan bekas pemain Chelsea, Renato Veiga, sekadar menggegarkan tiang.
“Musim lalu memang sukar, tetapi kini pasukan bermain dengan semangat baharu. Saya sangat berpuas hati,” kata Pep Guardiola selepas perlawanan.