Mirabel Ting pamer aksi menyakinkan, jadi pemain terbaik negara hari pertama di Maybank Championship

54

Nama Mirabel Ting kembali mencuri tumpuan di padang Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) apabila bintang muda profesional negara itu membuka tirai Maybank Championship 2025 dengan gaya penuh keyakinan. 

Mirabel mencatatkan skor 67 pukulan, lima di bawah par yang menyaksikan beliau menamatkan pusingan pertama di kedudukan T11, sekaligus muncul pemain terbaik Malaysia untuk hari pembukaan kejohanan bertaraf antarabangsa itu.


“Saya bermula dengan sangat baik, berjaya birdie di lubang pertama. Tapi saya cuba ingatkan diri sendiri untuk terus bersabar. Kalau putt masuk, baguslah. Kalau tidak, jangan panik. Kekal tenang dan bersabar kerana ia akan masuk juga nanti,”

katanya.

Beliau juga mengakui putting menjadi ‘senjata’ utamanya pada hari ini, disusuli pukulan iron yang konsisten dan kawalan fairway yang kemas.

“Putt saya sangat baik hari ini. Masih ada beberapa putt yang terlepas, tapi keseluruhannya iron saya agak baik dan saya juga banyak memukul bola ke fairway.”

Dalam pada itu, Mirabel juga mengakui beliau bimbang selepas bogey di lubang keenam, sebaliknya ia menjadi titik kebangkitannya apabila beliau mencatat birdie di lubagn berikutnya.

“Saya beritahu diri sendiri tak mengapa. Bila saya bogey, saya tahu sesuatu yang baik akan datang. Saya birdie di lubang seterusnya, dan kadang-kadang semuanya jadi dengan sendirinya.”

Ini merupakan penyertaan kedua Mirabel di Maybank Championship, dan jelas kali ini beliau lebih bijak mengurus tekanan serta keadaan padang untuk menutup sembilan lubang terakhir tanpa sebarang bogey.

“Tahun lepas sembilan lubang terakhir agak sukar untuk saya, tapi hari ini saya berjaya mengawalnya dengan baik. Hanya satu bogey di sembilan lubang pertama, dan saya rasa lebih selesa dengan corak permainan saya.”

Sementara itu, walaupun beliau berjaya menamatkan hari pertama dengan agak baik namun Mirabel enggan terlalu fokus pada carta kedudukan sebaliknya mahu fokus untuk bermain dengan baik untuk baki 54 lubang.