Benedetta Moresco cemerlang di hari pertama Maybank Championship
Pemain golf profesional Itali, Benedetta Moresco, tampil cemerlang pada hari pembukaan Maybank Championship 2025 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) apabila mencatatkan 65 pukulan, tujuh di bawah par, untuk menduduki tangga T2 selepas pusingan pertama.
Dalam penampilan sulungnya di Malaysia, Moresco mempamerkan permainan bertenaga dengan sembilan birdie,hasil kombinasi pukulan tepat dari tee, kawalan iron yang kemas dan ketenangan ketika melakukan putt.
“Segalanya berjalan sangat baik hari ini. Saya pukul bola dengan baik dari tee dan pukulan iron saya juga hampir dengan pin. Saya juga berjaya melakukan beberapa putt penting,”
katanya.
Moresco berkata antara faktor utama menyumbang kepada permainan baiknya pada hari ini adalah kepercayaan terhadap permainannya dan fokus pada setiap pukulan.
“Saya hanya ingatkan diri untuk percaya pada usaha dan perasaan sendiri. Setiap kali berdiri di atas bola, saya fikir, percayakan diri, dan teruskan. Ia berbaloi hari ini.”
Dalam pada itu, Moresco yang kini menjalani tahun penuh pertamanya di Jelajah LPGA menyifatkan prestasi itu sebagai satu permulaan yang baik selepas beberapa minggu yang mencabar.
“Dua minggu lepas permainan saya tidak begitu baik, jadi saya bekerja keras dan minggu ini menunjukkan hasilnya.”
Sebagai wakil Itali di pentas antarabangsa, Moresco mengakui rasa bangga membawa bendera negaranya.
Sementara itu, beliau juga memuji suasana di Malaysia dan keadaan padang KLGCC.
“Saya suka Kuala Lumpur, orangnya sangat ramah dan padangnya dalam keadaan terbaik. Ia sangat sesuai dengan gaya permainan saya yang banyak menggunakan driver.”
Dengan aksi memberangsangkan ini, Moresco kini dilihat sebagai antara pemain yang perlu diberi perhatian menjelang pusingan kedua Maybank Championship.