Genevieve Ling tenang untuk catat 69 pukul pada hari pertama Maybank Championship

64

Pemain golf profesional negara, Genevieve Ling membuka tirai Maybank Championship 2025 dengan langkah penuh yakin apabila mencatatkan skor 69 pukulan, tiga di bawah par, di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara hari ini. 

Genevieve telah mempamerkan aksi konsisten dan kawalan emosi yang mantap menyaksikan beliau muncul antara pemain Malaysia terbaik pada pusingan pertama kejohanan berprestij itu.


“Saya rasa saya berjaya kawal emosi dengan baik di luar sana. Ramai orang datang hari ini dan suasana sangat meriah. Saya memang mahu berikan mereka sesuatu untuk disaksikan,”

katanya.

Menurutnya, kejayaan hari ini bukan kebetulan, sebaliknya hasil kerja keras berterusan sejak beberapa tahun lalu.

“Tahun ini saya lebih fokus pada diri sendiri dan pastikan pasukan di sekeliling saya terdiri daripada orang yang percaya dan mahu lihat saya berjaya. Saya rasa itulah perbezaan paling besar.”

Dalam pada itu, sebagai duta KLGCC Genevieve mengakui ia memberinya sedikit kelebihan berbanding pemain-pemain lain.

“Saya memang sangat mengenali padang ini, mungkin lebih baik daripada pemain lain di luar sana, jadi ya itu memang kelebihan buat saya.”

Untuk kejohanan edisi kali ini, Genevieve ditemani rakan baiknya, Jerry yang bertindak sebagai kedinya sepanjang minggu ini kerana mahukan seseorang yang akan beri sokongan buatnya.

Sementara itu, menjelang aksi hari kedua esok, beliau mahu kekal dengan pendekatan sederhana namun strategik.

“Perancangannya sama iaitu lihat kedudukan pin, rancang dengan teliti dan pastikan saya berada di posisi yang bagus di padang.”