Ashley Lau kekal tenang, fokus pulih rentak pada hari ketiga Maybank Championship
Pemain golf profesional negara, Ashley Lau, mengekalkan ketenangan dan semangat positif selepas menamatkan hari kedua Maybank Championship 2025 dengan catatan even par, sekaligus mengumpul 141 pukulan, tiga di bawah par secara keseluruhan.
Menurut Ashley, walaupun prestasinya tidak sebaik seperti hari pertama namun beliau tetap optimis dan berpuas hati dengan permainannya di lapangan.
“Saya rasa saya cuma tidak bermain sebaik semalam. Pukulan putting saya banyak yang tidak masuk. Tapi tak mengapa, masih ada dua hari lagi,”
katanya.
Ashley juga mengakui hari keduanya sedikit mencabar dari segi konsistensi, namun tetap berpegang pada pelan permainan asal.
“Hari ini memang salah satu hari di mana putting saya tidak menjadi. Jadi selepas ini saya akan buat sedikit latihan putting dan harap-harap lebih banyak putt akan masuk esok.”
Dalam pada itu, Ashley berkata walaupun mendapat beberapa bogey tapi beliau kekal fokus dan enggan terlalu memikirkan kesilapan tersebut.
Beliau pada masa sama memberi kredit kepada kedinya yang sentiasa memberi sokongan moral supaya beliau kekal positif sepanjang permainannya.
Antara detik manis buat Ashley hari ini ialah birdie di lubang ke-8, hasil kerjasama dengan caddie yang membantunya membaca arah putt.
“Biasanya saya baca sendiri, tapi kali ini saya minta bantuannya. Dan ya ia masuk! Memang rasa sangat gembira.”
Sementara itu, menjelang pusingan ketiga esok, Ashley bertekad untuk terus menikmati permainan dan memperbaiki rentaknya.