Jeeno Thitikul akan pamer permainan lebih agresif untuk hari ketiga Maybank Championship

38

Pemain golf sensasi Thailand, Jeeno Thitikul, bertekad untuk tampil lebih agresif pada hari ketiga Maybank Championship 2025 selepas menamatkan pusingan kedua dengan catatan dua di bawah par (70) untuk mengumpul 138 pukulan keseluruhan, enam di bawah par.

Walaupun mengakui kecewa dengan beberapa kesilapan kecil terutama pada bahagian awal permainan, Thitikul tetap positif dan melihat ruang besar untuk memperbaiki kedudukannya menjelang hujung minggu.


“Saya memang menikmati permainan hari ini, cuma sedikit mengecewakan kerana saya terlepas beberapa pukulan putting dan kehilangan pukulan mudah di beberapa lubang. Tapi secara keseluruhan saya masih di bawah par, jadi saya gembira dengan itu,”

katanya.

Thitikul yang kini berada dalam kelompok pertengahan carta kedudukan percaya peluang masih terbuka luas untuk terus bersaing.

“Dalam golf, anda sentiasa ada peluang. Masih ada 36 lubang lagi, jadi saya pasti masih boleh kejar. Padang ini memang beri peluang untuk catat skor rendah, jadi kalau mahu bersaing di tangga teratas, kita perlu bermain dengan sangat baik.”

Dalam pada itu, bintang berusia 22 tahun itu turut mengakui corak permainan “birdie-bogey” yang silih berganti antara lubang ketiga hingga kelapan sedikit mengganggu rentaknya, namun dia tidak mahu hanyut dengan kekecewaan.

“Ada beberapa pukulan yang baik tapi juga kesilapan yang tak sepatutnya berlaku. Saya cuba kekal positif dan tidak terlalu fikirkan yang negatif.”

Sementara itu, beliau yang menamatkan permainan lebih baik di sembilan lubang terakhir berkata beliau akan bermain dengan lebih agresif di setiap lubang dan yakin putting akan menjadi kunci buatnya buru keputusan lebih baik esok.

“Tiada cut dalam kejohanan ini, jadi saya akan lebih agresif di setiap lubang. Keadaan green agak lembut, jadi saya boleh serang pin dengan lebih yakin.”