Messi enggan akui diri sebagai GOAT, gelar Maradona sebagai yang terbaik

23

Bintang Argentina, Lionel Messi, enggan mengakui dirinya sebagai pemain terbaik sepanjang zaman atau “Greatest of All Time” (GOAT) dalam satu temu bual eksklusif bersama NBC News baru-baru ini.

Dalam sesi bersama hos Tom Llamas, wartawan tersebut memuji Messi sebagai GOAT dan bertanya siapakah atlet lain yang dianggap hebat oleh pemain berusia 38 tahun itu, namun, Messi memilih untuk tidak menobatkan dirinya sendiri.


Sebaliknya, kapten Inter Miami itu menyebut beberapa nama besar dalam dunia sukan seperti Michael Jordan, LeBron James, Stephen Curry, serta trio tenis tersohor Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic sebagai contoh kebesaran dalam sukan masing-masing.

Namun yang paling menarik perhatian, Messi turut menyebut nama Diego Maradona, legenda bola sepak Argentina yang sering dibandingkan dengannya, sebagai figura istimewa dan berpengaruh besar dalam sejarah sukan negara itu.

“Maradona bukan sekadar pemain bola. Dia adalah simbol bagi Argentina,”

kata Messi dalam temu bual tersebut.

Meskipun telah meraih hampir segala kejuaraan utama termasuk Piala Dunia 2022, lapan Ballon d’Or, dan pelbagai rekod individu yang sukar ditandingi, baginya Maradona tetap pemain yang lebih layak dianggap sebagai yang terbaik.

Perdebatan mengenai siapa GOAT sebenar bola sepak mungkin tidak akan pernah berakhir, tetapi bagi Messi, jelas penghormatan terhadap Maradona yang pernah mengukir sejarah penting dalam bola sepak Argentina sangatlah tinggi.