Liyana Durisic sasar aksi Eropah, sertai Q-School Disember ini

70

Pemain golf profesional negara, Liyana Durisic, terus menyalakan aspirasi besar dalam kariernya selepas menamatkan Maybank Championship 2025 di kedudukan T72 dengan catatan 292 pukulan, empat di atas par, di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC). 

Menurut Liyana, walaupun mengakui masih ada ruang untuk diperbaiki beliau kekal optimis dan kini memberi tumpuan penuh kepada misi seterusnya iaitu menyertai Lalla Aicha Qualifying School di Maghribi pada Disember ini.


“Saya merancang untuk menyertai Lalla Aicha Qualifying School pada bulan Disember ini, dan harapnya tahun depan saya dapat bermain di Eropah,”

ujarnya.

Bagi pemain berusia 25 tahun itu, kejohanan kelayakan tersebut bukan sekadar peluang untuk menguji kemampuan diri, tetapi juga langkah besar ke arah merealisasikan impian beraksi di Ladies European Tour (LET).

Dalam pada itu, Liyana mengakui pengalaman beraksi di hadapan penyokong tempatan sepanjang minggu di Maybank Championship banyak mengajarnya tentang ketahanan mental dan fokus dalam tekanan tinggi.

“Minggu ini memang sangat bermakna bagi saya. Dapat bermain di tanah air sendiri dengan begitu ramai yang datang memberi sokongan — memang sesuatu yang istimewa. Saya tak sabar untuk kembali bermain di sini tahun depan.”

Menilai prestasi keseluruhan, Liyana percaya setiap kejohanan memberi ruang untuk pembelajaran baharu.

“Saya rasa minggu ini saya berjaya kawal diri dengan baik, tidak terlalu tertekan. Itu pengajaran terbesar saya kali ini.”

Dengan masa dua minggu untuk berehat sebelum menyertai PGM Johor, fokus kini beralih kepada persediaan intensif menuju Maghribi.

Sementara itu, bagi Liyana, perjalanan menuju Eropah bukan sekadar mengejar kejayaan peribadi, tetapi juga membawa harapan besar untuk melihat lebih ramai pemain golf wanita Malaysia bersaing di pentas antarabangsa.

“Saya sangat berpuas hati dengan kemajuan tahun ini. Tapi perjalanan saya baru bermula dan saya mahu pastikan langkah seterusnya membawa saya ke tahap lebih tinggi.”