Luis Diaz cemerlang, Bayern tundukkan PSG walau beraksi 10 pemain

43

Luis Diaz menjadi wira Bayern Munich apabila meledak dua gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Champions League, meskipun pasukannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Dipetik dari BBC, Bayern yang kini mencatat 16 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan bermula garang apabila Diaz membuka jaringan seawal minit ke-4 selepas memanfaatkan tekanan tinggi pasukan kendalian Vincent Kompany. 


Pemain sayap Colombia itu sekali lagi menambah gol kedua pada minit ke-32 selepas merampas bola daripada Marquinhos dan menyudahkan peluang dengan tenang.

Namun, detik malang menimpa Diaz apabila dia dilayangkan kad merah sebelum rehat akibat terjahan keras ke atas Achraf Hakimi yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan buku lali serius.

PSG cuba bangkit pada babak kedua dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan akrobatik Joao Neves pada minit ke-74, namun Manuel Neuer tampil cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya di penghujung permainan.

Kemenangan ini mengekalkan Bayern di tangga teratas kumpulan dengan rekod sempurna empat kemenangan daripada empat perlawanan.