Kita patut mengambil iktibar dan insaf atas apa yang terjadi – Azzuddin Ahmad
Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad, tampil memberi pandangan jujur mengenai kemelut yang sedang melanda FAM selepas rayuan kepada FIFA ditolak berhubung skandal pemalsuan dokumen pemain warisan.
Menurut Azzuddin, semua bukti yang dikemukakan oleh FIFA sudah cukup jelas untuk menunjukkan bahawa penipuan telah berlaku, dan kini tiba masanya untuk FAM menerima hakikat itu dengan hati terbuka.
“Segala bukti sudah terbentang. Jadi kita patut mengambil iktibar dan insaf atas apa yang berlaku. Sebagai seorang ‘gentleman’, akuilah kesilapan dengan hormat,”
katanya.
Jelasnya, jika FAM membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) hanya akan memanjangkan isu dan mungkin mengundang risiko hukuman lebih berat terhadap badan induk bola sepak negara.
“Saya bimbang jika kita terus melawan arus, organisasi kita pula akan digantung. Bila FAM digantung, semua aktiviti bola sepak negara termasuk Liga M akan terhenti. Implikasinya sangat besar.”
Dalam pada itu, Azzuddin berkata isu tersebut telah mencalar imej bola sepak Malaysia di mata dunia dan seharusnya dijadikan pengajaran.
“Kesilapan telah berlaku, maruah kita tercalar. Jadi, biarlah kita insaf, mengaku salah dan bina semula kepercayaan rakyat serta dunia terhadap bola sepak Malaysia.”