‘Let the truth prevail’, demi cinta kita pada bola sepak – Al-Sultan Abdullah

320

Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan penuh hikmah mengenai kemelut yang sedang melanda arena bola sepak tanah air susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.

Baginda enggan mengulas panjang mengenai isu berkenaan, namun menegaskan bahawa semua pihak perlu memberi ruang kepada proses siasatan berjalan dengan adil dan telus.


“Saya ingat saya tak perlu komen di sini sebab ramai yang dah beri komen. To be fair, let the process take its course, let the truth prevail — biar yang benar akan keluar daripada pihak-pihak yang tak menjawab,”

titah baginda.

Al-Sultan Abdullah pada masa sama turut menekankan bahawa insiden ini harus dijadikan pengajaran penting kepada semua pihak yang terlibat dalam bola sepak negara agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Sudah tentu, ini harus jadi satu ingatan untuk masa akan datang. Kita perlu perbetulkan keadaan demi cinta kita terhadap bola sepak, dan bangkit daripada kegelisahan serta masalah yang melanda sukan ini.”

Baginda turut bertitah menyeru kepada semua daripada badan induk bola sepak negara dan penyokong untuk bersatu, berani memperbaiki kesilapan dan mengembalikan maruah bola sepak negara di pentas dunia.