Lebih baik guna duit CAS untuk pembangunan akar umbi – Azzuddin Ahmad
Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad, menyarankan agar FAM tidak meneruskan langkah membawa isu pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), sebaliknya menyalurkan dana yang ada untuk pembangunan bola sepak akar umbi.
Menurut Azzuddin, proses rayuan di CAS bukan sahaja memakan masa panjang, malah menelan belanja yang besar sehingga mencecah jutaan ringgit jadi ia merupakan satu perbelanjaan yang disifatkannya sebagai sia-sia dalam keadaan semasa.
“Saya amat bersetuju kalau duit itu digunakan untuk pembangunan akar umbi. Alangkah baiknya kalau dana tersebut disalurkan kepada pembangunan pemain muda atau melunaskan tunggakan gaji pemain tempatan. Itu lebih bermanfaat untuk bola sepak negara,”
katanya.
Azzuddin turut menegaskan bahawa keputusan FIFA perlu diterima dengan terbuka agar FAM dapat menumpukan semula perhatian kepada usaha membina semula kepercayaan peminat dan memperkukuh struktur bola sepak nasional.