Joao Mendes, anak Ronaldinho, fokus cipta nama sendiri di Hull City
Pemain sayap akademi Hull City, Joao Mendes, menegaskan beliau tidak berasa tertekan meskipun merupakan anak kepada legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho.
Dipetik dari BBC, pemain berusia 20 tahun ini menyertai Hull City dengan kontrak setahun pada September lalu selepas menghabiskan musim lepas bersama pasukan remaja Burnley.
Ayahnya, Ronaldinho, merupakan ikon bola sepak dunia yang pernah memenangi Piala Dunia 2002, Champions League, dan Ballon d’Or, selain pernah beraksi bersama kelab gergasi seperti Paris Saint-Germain, Barcelona dan AC Milan.
“Saya tidak rasa tekanan kerana saya sentiasa tahu siapa diri saya dan siapa dia,” kata Mendes kepada BBC Radio Humberside.
“Orang mungkin melihat saya sebagai anak Ronaldinho, tapi itu tidak menjejaskan cara saya bermain. Yang penting, saya gembira bermain bola sepak.”
Beliau pernah berlatih di akademi La Masia Barcelona sebelum berpindah ke England pada Ogos 2024 dan berasa bangga menjadi anak Ronaldinho, malah telah menjemput bapanya ke Hull.
Kini, Mendes fokus meningkatkan minit permainan bersama skuad Bawah-21 Hull City, selepas terlepas pramusim.
“Saya bekerja keras untuk rebut tempat dan matlamat utama adalah menembusi pasukan utama. Jurulatih banyak membantu dalam meningkatkan kecergasan dan kemahiran saya,” tambahnya.
Joao Mendes kini berusaha membina nama sendiri sambil membawa legasi keluarganya ke pentas bola sepak England.