Ronaldo berdepan risiko terlepas aksi pembukaan Piala Dunia jika Portugal layak

217

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, berkemungkinan besar terlepas aksi pembukaan kempen Piala Dunia sekiranya La Seleção berjaya layak ke kejohanan tahun depan. 

Dipetik dari BBC, pemain legenda itu sudah disahkan digantung untuk aksi kelayakan terakhir menentang Armenia pada Ahad ini, tetapi berdepan risiko penggantungan tiga perlawanan susulan kesalahan berunsur keganasan.


Menurut Kod Tatatertib FIFA, Bab Dua, Artikel 14(i), pemain dan pegawai boleh digantung sekurang-kurangnya tiga perlawanan atau tempoh masa yang sesuai bagi kesalahan menyerang, termasuk menggunakan siku, menumbuk, menyepak, menggigit, meludah atau memukul pemain lawan atau individu selain pegawai perlawanan.

Jika hukuman tiga perlawanan itu dikenakan dan Portugal layak secara automatik, Ronaldo dijangka terlepas dua perlawanan awal peringkat kumpulan di Amerika Utara musim panas 2026. 

Sebaliknya, jika Portugal perlu melalui pusingan play-off, penggantungan beliau akan dijalankan dalam aksi tersebut.

Nasib Ronaldo kini berada di tangan jawatankuasa tatatertib FIFA, sama ada ia menjejaskan penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia atau tidak, kepulangannya ke Dublin baru-baru ini sudah mencetuskan drama besar bagi peminat bola sepak seluruh dunia.