Setahun lebih saya tunggu saat ini – Luqman Hakim

98

Penyerang muda Harimau Malaya, Luqman Hakim, kembali menyarung jersi negara selepas lebih setahun menunggu panggilan skuad kebangsaan. 

Bagi Luqman, peluang kali ini bukan sekadar pemilihan biasa sebaliknya ia satu momen penuh syukur, kelegaan dan kebangkitan semula.


“Syukur Alhamdulillah… selepas setahun lebih, saya dapat kembali ke skuad kebangsaan. Saya bangga, saya bertuah,”

katanya.

Terdahulu, Luqman hanya berada dalam senarai menunggu, namun selepas Jordan Mintah terpaksa digugurkan dek masalah kesihatan beliau telah dipanggil untuk sertai kem skuad negara.

Luqman yang kini sudah lima hari berlatih bersama skuad negara mengakui segala persiapan berjalan lancar.

“Step by step, progress sangat bagus. Latihan pun high intensity. Ini peluang terbaik untuk saya tunjukkan saya boleh bersaing.”

Dalam pada itu, Luqman yang melalui fasa naik turun dalam karier, termasuk kecederaan hamstring awal musim yang memaksanya berehat 5–6 perlawanan, Luqman menganggap semua itu sebagai proses mematangkan diri.

Malah beliau juga tidak berasa terlalu lewat atau ketinggalan berbanding rakan seangkatannya yang mempunyai lebih banyak kaps bersama skuad negara.

“Saya masih 23 tahun. Perjalanan masih panjang. Belum terlambat.”

Beliau pada masa sama turut berkata terbuka untuk bermain di mana-mana sahaja posisi jika diturunkan oleh ketua jurulatih.

Sementara itu, Luqman tidak menafikan prestasi bersama Negeri Sembilan FC menjadi sebab utama beliau kembali dipanggil.

“Mungkin orang luar atau coach lebih nampak apa yang saya ada. Itu rezeki saya.”

Aksi menentang Nepal pada 18 November bukan sekadar perlawanan kelayakan ia juga peluang untuk Luqman membuktikan dia kembali berada pada landasan tepat.