FAM sah bawa kes pemain warisan ke CAS: Tekad pertahan keadilan & integriti

121

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pihak mereka telah menerima alasan penuh daripada FIFA berkaitan keputusan menolak rayuan mengenai status kelayakan tujuh pemain warisan negara. 

FAM dalam satu kenyataan media berkata dokumen lengkap itu kini menjadi asas penting untuk langkah seterusnya dalam proses perundangan.


Susulan itu, FAM mengambil keputusan untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS). 

Tindakan ini bukan sekadar respons terhadap keputusan FIFA, tetapi satu usaha tegas bagi memastikan keadilan ditegakkan serta integriti proses naturalisasi dan kelayakan pemain sebagaimana yang telah digariskan oleh Kerajaan Malaysia serta agensi berkaitan.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi menegaskan bahawa FAM kekal komited memperjuangkan hak setiap pemain yang layak menyarung jersi negara. 

Beliau menambah bahawa segala tindakan akan dijalankan secara telus, profesional dan mengikut saluran undang-undang yang sah.

Dengan perkembangan terbaharu ini, perjalanan kes pemain warisan memasuki fasa lebih penting dan FAM tekad memastikan suara Malaysia didengari di peringkat tertinggi.