Isu pemalsuan dokumen: FIFA arah Sekretariat maklum pihak berkuasa jenayah antarabangsa

630

Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengeluarkan alasan bertulis sebanyak 64 muka surat mengenai keputusan mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berhubung isu pemalsuan dokumen.

Dalam alasan Jawatankuasa Rayuan, mereka menekankan bahawa kesalahan ini menjejaskan asas integriti bola sepak yang mana kelayakan pemain mewakili pasukan kebangsaan bukan sahaja keperluan prosedur, tetapi prinsip asas yang melindungi kredibiliti pertandingan antarabangsa serta kepercayaan pihak berkepentingan. 


“Sebarang cubaan memalsukan dokumen bagi menipu badan pengelola adalah pelanggaran serius yang menjejaskan keadilan permainan dan keyakinan awam.”

Susulan itu, Jawatankuasa Rayuan mengekalkan keputusan dan semua rayuan pemohon ditolak sepenuhnya.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Rayuan juga memaklumkan berdasarkan bukti prosiding mereka akan mengarahkan Sekretariat untuk melaksanakan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman FAM. 

Fokus awal termasuk peranan Setiausaha Agung FAM serta dua ejen berlesen FIFA, Encik Nicolas Puppo dan Encik Frederico Moraes. 

Siasatan berasingan juga akan dijalankan terhadap penglibatan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan.

Bagaimanapun apa yang lebih mengejutkan adalah memandangkan keseriusan kesalahan, terutamanya pemalsuan dokumen rasmi, Jawatankuasa Rayuan turut mengarahkan Sekretariat memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol, dan Malaysia. 

“Pemalsuan dokumen adalah kesalahan jenayah di bidang kuasa ini, dan siasatan serta prosiding jenayah yang sewajarnya akan dijalankan.”

Sementara itu, susulan FIFA telah mengeluarkan alasan bertulis, Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi dalam satu kenyataan media berkata pihaknya mengambil keputusan untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS). 

Yusoff menegaskan tindakan ini bukan sekadar respons terhadap keputusan FIFA, tetapi satu usaha tegas bagi memastikan keadilan ditegakkan serta integriti proses naturalisasi dan kelayakan pemain sebagaimana yang telah digariskan oleh Kerajaan Malaysia serta agensi berkaitan.