Rob Friend jelaskan peranan sebagai perunding FAM, bukan CEO?

412

Susulan pendedahan Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengeluarkan alasan bertulis sebanyak 64 muka surat berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya, timbul pelbagai persoalan mengenai status sebenar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend.

Dalam dokumen alasan bertulis tersebut, Friend menjelaskan bahawa beliau berkhidmat sebagai perunding kepada FAM, sekaligus menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat — adakah beliau benar-benar CEO atau sekadar perunding? 


Ini kerana pada Disember 2024, FAM telah mengumumkan pelantikan Rob Friend sebagai CEO yang disifatkan langkah strategik dalam merevolusikan struktur pasukan kebangsan.

Semasa prosiding, Friend menjelaskan bahawa FAM melaksanakan pelan pencarian warisan sebagai sebahagian daripada inisiatif lebih luas untuk meningkatkan standard pasukan senior negara dari semua aspek teknikal. 

Beliau berpangkalan di Kanada dan hanya melakukan perjalanan ke Malaysia pada hari perlawanan, dengan tanggungjawab membantu projek termasuk penambahbaikan bagi jurulatih dan kakitangan teknikal.

Friend pada masa sama turut menegaskan semua proses naturalisasi pemain dikendalikan sepenuhnya oleh FAM di Malaysia, dan beliau hanya ditugaskan membantu prosiding sejak 22 Ogos 2025. 

Beliau juga menafikan sebarang salah laku dan menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam mana-mana proses sebelum tarikh tersebut.

Kes ini dijangka terus menjadi sorotan peminat bola sepak negara, terutamanya dalam memastikan integriti dan kredibiliti pasukan Harimau Malaya kekal terpelihara.