Apa pun yang berlaku, kami tetap berjuang untuk Malaysia – Faisal Halim
Selepas membantu Harimau Malaya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Nepal dalam aksi kelima Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pemain terbaik perlawanan (MOTM), Faisal Halim mengakui setiap pemain pastinya mengambil berat situasi rakan sepasukan susulan ketidaktentuan akibat skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.
“Sebagai pemain, apa-apa yang berlaku terhadap rakan-rakan kita, kita sentiasa support dan doa yang terbaik untuk mereka,”
katanya.
Menurut Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey, beliau menekankan fokus utama pemain adalah untuk menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin tanpa mengira badai yang melanda.
Dalam pada itu, mengulas kemungkinan Malaysia berdepan penggantungan FIFA yang boleh menggagalkan impian untuk beraksi di Piala Asia sekali lagi, Faisal tidak menafikan ia satu perkara yang menyedihkan.
“Sudah tentu sebagai pemain, kita mahu bermain di peringkat tertinggi. Kalau benda itu berlaku, kita akan kecewa. Kita dah berada dalam momentum baik, menang semua perlawanan.”
Namun, beliau menegaskan bahawa selagi belum ada keputusan rasmi, Harimau Malaya akan terus memberikan yang terbaik.
“Kita berharap yang terbaik. Apa pun keputusan, kita kena teruskan perjuangan.”
Sementara itu, Faisal turut menitipkan penghargaan buat seluruh penyokong setia yang tidak pernah berhenti memberi sokongan, walaupun pasukan kini diuji pelbagai kontroversi.
“Terima kasih kepada semua fans, rakyat Malaysia. Mereka sentiasa berada di belakang pasukan. Teruskan menyokong kami. Kami memerlukan sorakan itu.”