Scotland tamatkan penantian 28 tahun, sah ke Piala Dunia 2026

22

Scotland berjaya menamatkan penantian hampir tiga dekad apabila mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia lelaki buat pertama kali sejak 1998 selepas kemenangan dramatik ke atas Denmark di Stadium Hampden Park. 

Dipetik dari BBC, dalam aksi penuh debaran itu, Scotland dua kali mendahului, dua kali disamakan, sebelum meledak dua gol pada masa kecederaan termasuk satu dari kawasan sendiri bagi memastikan slot automatik ke kejohanan tahun depan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.


Ketua jurulatih, Steve Clarke, yang sebelum ini mencabar pemainnya untuk bermain dengan keyakinan, kini menjadi pengendali pertama membawa Scotland ke tiga kejohanan utama. 

Detik kebangkitan bermula seawal minit ketiga apabila Scott McTominay melakukan rembatan gunting udara mengatasi Kasper Schmeichel.

Denmark kembali mengasak dan menyamakan kedudukan melalui penalti Rasmus Hojlund selepas semakan VAR yang panjang. 

Namun, kad merah Rasmus Kristensen memberi nafas kepada Scotland.

Gol Lawrence Shankland kembali menghidupkan stadium sebelum Patrick Dorgu menyamakan semula. 

Saat segalanya tampak menuju kegagalan, Kieran Tierney merembat gol jarak jauh menakjubkan, disusuli jaringan Kenny McLean dari kawasan sendiri mengesahkan malam penuh keajaiban buat Scotland.