Gabriel cedera, Arsenal berdepan cabaran sebelum Derby London Utara

35

Arsenal kini menanti kepastian tahap kecederaan peha yang dialami Gabriel semasa menjalani tugasan antarabangsa bersama Brazil, dengan kebimbangan beliau mungkin terpaksa berehat beberapa minggu. 

Dipetik dari BBC, pemain pertahanan tengah itu dilaporkan terhincut keluar padang dengan kesakitan semasa perlawanan persahabatan menentang Senegal di Stadium Emirates hujung minggu lalu dan telah kembali ke Arsenal untuk rawatan lanjut.


Ketiadaan Gabriel bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham pada Ahad ini menimbulkan cabaran besar buat pengurus Mikel Arteta. 

Gabriel membentuk gandingan pertahanan tengah mantap bersama William Saliba dan merupakan tulang belakang benteng pertahanan Arsenal, yang setakat ini hanya bolos lima gol di Premier League musim ini. Piero Hincapie dan Cristhian Mosquera kini berpeluang mengisi kekosongan beliau.

Musim Arsenal turut dibelenggu kecederaan pemain penting lain, termasuk kapten Martin Odegaard, Noni Madueke, Gabriel Martinelli, Kai Havertz dan Viktor Gyokeres. 

Walaupun kelima-lima pemain ini dijangka kembali tidak lama lagi, masih belum pasti sama ada mereka cukup cergas untuk menghadapi perlawanan sengit menentang Tottenham.

Ketiadaan Gabriel dan beberapa pemain utama lain menjadikan persiapan Arsenal untuk derby London utara lebih mencabar, dan keputusan pemulihan beliau akan menjadi penentu strategi pertahanan Gunners bagi perlawanan penting itu.